bg-slider

bgslider

:

CAPAIAN PANTAS

CAPAIAN PANTAS

Tanggungjawab & Fungsi Jabatan

Tanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri

  • Menasihat Pihak Berkuasa Negeri dalam pentadbiran sumber hutan untuk penghasilan pendapatan yang optimum

  • Bertindak sebagai agensi pelaksana dasar-dasar dan penguatkuasaan undang-undang perhutanan; dan

  • Mengurus sumber hutan sejajar dengan konsep pengurusan secara berkekalan.

Fungsi Jabatan

Jabatan Perhutanan Negeri Kedah berfungsi sebagai satu Jabatan profesional dan teknikal yang bertanggungjawab untuk mengurus dan memberi nasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri di dalam hal ehwal pentadbiran dan pengurusan hutan. Secara khususnya fungsi Jabatan Perhutanan Negeri Kedah ialah:-

  • Melaksanakan amanah Pihak Berkuasa Negeri dalam mentadbir dan mengurus sumber hutan negeri dengan konsep Pengurusan Hutan Secara Berkekalan supaya dapat memberi faedah-faedah sosial, ekonomi dan alam sekitar yang bersih kepada rakyat.
  • Bertindak sebagai agensi pelaksana dasar-dasar dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan perhutanan.
  • Bertindak sebagai agensi yang melaksanakan usaha-usaha pembangunan, pemulihan dan menghutan semula melalui amalan silvikultur yang sempurna supaya dapat mengeluarkan hasil yang tinggi.

Dalam organisasi ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah dibahagikan kepada Seksyen-Seksyen yang mempunyai fungsi khusus masing-masing seperti berikut:-

BAHAGIAN KHIDMAT PENGURUSAN

Dibawah Bahagian Khidmat Pengurusan terdapat tiga seksyen iaitu Seksyen Pentadbiran Am, Seksyen Sumber Manusia dan Organisasi serta Seksyen Kewangan. Memandangkan Bahagian ini adalah amat penting dalam melancarkan pentadbiran jabatan dan bagi membantu Pengarah Perhutanan Negeri melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan, maka Pegawai Tadbir Gred 44 adalah mengetuai bahagian ini bagi memastikan urusan pentadbiran dan pengurusan JPNK berjalan dengan lancar.

Seksyen Pentadbiran Am

Seksyen ini yang diketuai oleh Penolong Pegawai Tadbir N32 adalah bertanggungjawab kepada Pegawai Tadbir berkaitan urusan pentadbiran, perkhidmatan dan juga pengurusan kakitangan JPNK.

Seksyen Sumber Manusia dan Organisasi

Seksyen Sumber Manusia dan Organisasi adalah bertanggungjawab menguruskan urusan sumber manusia JPNK terutama dalam mengenalpasti, menganalisa keperluan latihan dan menyediakan modul latihan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangan JPNK dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan pengurusan hutan. Ianya juga bertanggungjawab mengintegrasikan latihan di antara jabatan perhutanan negeri di seluruh Malaysia kepada kakitangan JPNK.

Seksyen Kewangan

Seksyen ini bertanggungjawab berkaitan dengan pengurusan kewangan meiputi kutipan hasil supaya mematuhi peraturan kewangan yang sedia ada.

BAHAGIAN PEMBANGUNAN HUTAN

Bahagian Pembangunan Hutan adalah bertanggungjawab untuk mengurus kawasan hutan simpanan kekal (HSK), memelihara kepelbagaian biologi, etnobotani dan pembangunan aktiviti eko-pelancongan. Di bawah penyusunan semula carta organisasi JPNK, seksyen-seksyen di bawah Bahagian Pembangunan Hutan telah diperkemaskan dengan penubuhan empat seksyen. Seksyen tersebut ialah Seksyen Silvikultur dan Perlindungan, Seksyen Ladang Hutan dan Inovasi, Seksyen Pengurusan Hutan, Eco-Park dan Hutan Taman Negeri dan Seksyen Kepelbagaian Sumber Hutan. Ianya diketuai oleh Penolong Pengarah Pemelihara Hutan G52.

Seksyen Silvikultur dan Perlindungan

Seksyen ini yang diterajui oleh Pemelihara Hutan G44 merupakan Unit Silvikultur & Perlindungan Hutan sedia ada yang telah diperluaskan bidang fungsinya. Seksyen ini bertanggungjawab melaksanakan aktiviti-aktiviti Bancian Hutan Selepas Tebangan dan rawatan silvikultur di dalam Hutan Simpanan Kekal.

Seksyen Ladang Hutan Dan Inovasi

Seksyen ini merupakan seksyen sedia ada dan bertanggungjawab untuk merancang dan merumuskan strategi untuk meningkatkan sumber bekalan kayu dan bukan kayu melalui program ladang hutan, penanaman spesies pokok di kawasan-kawasan terosot dan kawasan lapang di dalam HSK. Ianya diketuai oleh Pemelihara Hutan G41/44.

Seksyen Pengurusan Hutan, Eko-Park dan Hutan Taman Negeri

Pemelihara Hutan G44 adalah bertanggungjawab mengetuai seksyen ini, yang merupakan Unit Pengurusan Hutan sedia ada yang telah diperluaskan bidang fungsinya selepas penstrukturan baru. Antara skop tanggungjawab seksyen ini adalah melaksanakan aktiviti perancangan dan pengurusan hutan (termasuk pengurusan HSK, merangka strategi pengukuhan pembangunan hutan di samping menggariskan pelan tindakan bagi mencapai sasaran program/pembangunan hutan). Seksyen ini juga akan bertanggungjawab dalam mengenaslpasti kawasan HSK yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai Forest Eco-Park dan Taman Negeri disamping mengurus dan menyelenggara 27 buah hutan lipur dan satu (1) Taman Negeri.

Seksyen Kepelbagaian Sumber Hutan

Seksyen Kepelbagaian Sumber hutan yang diketuai oleh Pemelihara Hutan G41/44 adalah bertanggungjawab melaksanakan aktiviti pemeliharaan kepelbagaian biologi dengan penubuhan dan penyelenggaraan kawasan Hutan Simpanan Dara (VJR), petak ekologi, petak arboretum, Petak Pengeluaran Biji Benih (SPA) dan kawasan sumber genetik.

BAHAGIAN OPERASI HUTAN

Bahagian Operasi Hutan adalah berfungsi untuk melaksanakan aktiviti penguatkuasaan undang-undang, perkembagangan industri perkayuan, pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur dan pengumpulan dan pengrekodan maklumat. Mulai 1 Jun 2016, bahagian yang diketuai oleh Pemelihara Hutan Gred G52 ini dibagikan kepada tiga seksyen baharu yang terdiri daripada Seksyen Penguatkuasaan, Seksyen Kejuruteraan dan Seksyen Perindustrian, Pengusahasilan Kayu dan Bukan Kayu.

Seksyen Penguatkuasaan

Seksyen Penguatkuasaan Hutan adalah seksyen sedia ada yang melaksanakan penguatkuasaan Akta Perhutanan Negera 1984 bagi memastikan tidak berlaku kes-kes kesalahan hutan terutamanya pencerobohan ke atas Hutan Simpanan Kekal (HSK) serta memantau aktiviti pemindahan kayu dari Tanah Milik serta Tanah Kerajaan. Semakan dan sukatan pengeluaran kayu, menangani aduan awam, semakan kawasan lesen dan permit termasuk mengawal dari segi penguatkuasaan ke atas permit penggunaan, permit air masyarakat dan bendang juga adalah dibawah skop tugas seksyen ini yang diketuai oleh seorang Pemelihara Hutan Gred 44.

Seksyen Kejuruteraan

Seksyen Kejuruteraan Hutan adalah seksyen sedia ada yang bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur hutan serta memantau pembinaan jalan hutan dalam lesen pembalakan di Hutan Simpanan Kekal dan Tanah Kerajaan.

Seksyen Perindustrian, Pengusahasilan Kayu dan Bukan Kayu

Bahagian ini bertanggungjawab untuk memberi khidmat nasihat teknikal dalam bidang kejuruteraan mekanikal, rekabentuk kilang, pemilihan jentera dan teknik memproses bagi industri berasas kayu serta teknik-teknik pengusahasilan hutan; dan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

PEJABAT HUTAN DAERAH

Terdahulu, negeri Kedah dibahagikan kepada tiga (3) daerah hutan iaitu Daerah Kedah Utara, Kedah Tengah dan Kedah Selatan. Di dalam penstrukturan baru, JPNK akan menubuhkan satu (1) lagi Pejabat Hutan Daerah Baru iaitu Pejabat Hutan Daerah Langkawi yang sebelum ini di bawah pentadbiran Pejabat Hutan Daerah Negeri Kedah Utara (Jitra).

Bagi tujuan pentadbiran dan pengurusan, setiap daerah hutan ini diletakkan di bawah tanggungjawab Pejabat Hutan Daerah yang diketuai oleh Pegawai Hutan Daerah. Ia berperanan untuk menjalankan pentadbiran di peringkat daerah, termasuk kawalan pengusahasilan, kutipan hasil dan penguatkuasan undang-undang serta menjalankan aktiviti pengurusan, pembangunan dan silvikultur. Setiap Pejabat HUtan Daerah dibahagikan kepada beberapa renj hutan seperti di bawah :-

Daerah Hutan

Renj Hutan

Daerah Sivil

Pejabat Hutan Daerah Kedah Utara (Jitra)

Kubang Pasu, Padang Terap

Kubang Pasu, Padang Terap, kota Setar, Pokok Sena, Pendang (sebahagian)

Pejabat Hutan Daerah Langkawi

Langkawi

Langkawi

Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah (Sungai Petani)

Jeniang/Sik, Gulau, Sungai Petani/Gurun

Kuala Muda, Yan, Sik, Pendang (Sebahagian)

Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan (Kulim)

Tawar, Kulim, Weng

Baling, Kulim, Bandar Baharu, Sik (Sebahagian)

 

Pejabat Hutan Daerah Kedah Utara

Pejabat Hutan Daerah Kedah Utara diketuai oleh seorang (1) Pemelihara Hutan Gred G44 dan dibantu oleh seorang (1) Penolong Pemelihara Hutan Gred G32 dengan kakitangan seramai 115 orang. Pejabat Hutan Daerah Kedah Utara melibatkan kawasan pentadbiran seluas 349,800 hektar dan meliputi 6 daerah sivil iaitu Daerah Langkawi, Daerah Kubang Pasu, Daerah Padang Terap, Daerah Kota Setar, Daerah Pendang dan Daerah Sik. Pejabat Hutan Daerah mempunyai kawasan berhutan seluas 113,844 hektar dengan HSK meliputi kawasan seluas 87,848 hektar terdiri dari 22 HSK. Dalam Daerah Hutan ini juga terdapat sebanyak 164 buah kilang berasaskan kayu kayan.

Pada masa ini, Pejabat Hutan Daerah Kedah Utara di pecahkan kepada tiga (3) Renj Hutan dimana setiap Renj Hutan diketuai seorang Pegawai berpangkat Renjer Hutan Tingkatan Biasa.

Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah

Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah diketuai oleh seorang (1) Pemelihara Hutan Gred G44 dan dibantu oleh seorang (1) Penolong Pemelihara Hutan Gred G32 dengan kakitangan seramai 114 orang. Pejabat Hutan Daerah Kedah Tengah melibatkan kawasan pentadbiran seluas 342,600 hektar dan meliputi 7 daerah sivil iaitu Daerah Pendang, Daerah Sik, Daerah Yan, Daerah Baling, Daerah Kuala Muda, Daerah Gurun dan Daerah Sungai Petani. Pejabat Hutan Daerah mempunyai kawasan berhutan seluas 122,168 hektar dengan HSK meliputi kawasan seluas 114,807 hektar terdiri dari 9 HSK. Dalam Daerah Hutan ini juga terdapat sebanyak 166 buah kilang bersaskan kayu kayan.

Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan

Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan diketuai oleh seorang (1) Pemelihara Hutan Gred G44 dengan kakitangan seramai 111 orang. Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan melibatkan kawasan pentadiran seluas 256,400 hektar dan meliputi 4 daerah sivil iaitu Daerah Sik, Daerah Baling, Daerah Bandar Baharu dan Daerah Kulim. Pejabat Hutan Daerah mempunyai kawasan berhutan seluas 106,101 hektar dengan HSK meliputi kawasan seluas 87,848 hektar terdiri dari lima (5) HSK dan dua (2) kawasan tadahan air. Dalam daerah Hutan ini juga terdapat sebanyak 109 buah kilang berasaskan kayu kayan.

Pada masa ini, Pejabat Hutan Daerah Kedah Selatan dipecahkan kepada tiga (3) Renj Hutan dimana setiap Renj Hutan diketuai seorang (1) Renjer Hutan Gred G17.

Pejabat Hutan Daerah Langkawi

Pejabat Hutan Daerah Langkawi yang baharu diwujudkan adalah merupakan pecahan daripada Pejabat Hutan Daerah Kedah Utara dan diketuai oleh seorang (1) Pemelihara Hutan Gred G41 dan dan dibantu oleh seorang (1) Penolong Pemelihara Hutan Gred G27, seorang (1) Pembantu Tadbir (Perkeranian dan Operasi) Gred N17, seorang (1) Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W17, seorang (1) Pelukis Pelan dan seorang (1) Pembantu Am Rendah Gred N1.

Pejabat Hutan Daerah langkawi melibatkan kawasan pentadbiran seluas 52,800 hektar. Pejabat Hutan Daerah mempunyai kawasan berhutan seluas 25,593 hektar terdiri dari 14 HSK. Dalam Hutan Daerah ini juga terdapat sebanyak 8 buah kilang berasaskan kayu kayan.