bg-slider

bgslider

:

CAPAIAN PANTAS

CAPAIAN PANTAS

Ringkasan Rancangan Pengurusan Hutan

1.0    Pendahuluan

Rancangan Pengurusan Hutan (RPH) ini disediakan untuk merancang program, projek dan aktiviti pengurusan hutan bagi tempoh 10 tahun, mulai tahun 2006 hingga tahun 2015 dengan mengambil kira aspek pemeliharaan alam sekitar, kepelbagaian biologi serta kepentingan sosio-ekonomi negeri dalam sektor perhutanan

1.1.    Matlamat dan Strategi

RPH ini adalah berasaskan kepada Dasar Perhutanan Negeri Kedah yang diterapkan daripada Dasar Perhutanan Negara yang antara lain untuk memastikan keberkekalan Hutan Simpan Kekal (HSK), perlaksanaan pembangunan dan pemulihan hutan, pertumbuhan industri, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam pengurusan hutan serta meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan sumber hutan.

Antara strategi yang digunakan dalam mencapai matlamat RPH ini adalah :-

•     Memperkukuhkan jaminan pemegangan HSK,
•     Melaksanakan Sistem Pengurusan Tebangan Memilih (SMS),
•     Memodenkan dan meningkatkan keupayaan industri berasaskan kayu,
•     Mempergiatkan penghutanan semula termasuk penubuhan ladang hutan,
•     Meningkatkan penggunaan teknologi dalam aktiviti perhutanan,
•     Mewujudkan sistem maklumat perhutanan menerusi pangkalan data yang komprehensif


2.0    Sumber Hutan

Jumlah keluasan Negeri Kedah ialah 942,600 hektar di mana keluasan HSK pada tahun 2013 adalah  seluas 300,046 hektar. Pada tahun 2014 terdapat pewartaan baharu HSK sebanyak 34,930 hektar menjadikan keluasan baharu HSK sebanyak 334,803 hektar Daripada keluasan HSK seluas 334,803 hektar, 6,201 adalah merupakan Hutan Paya Laut.

HSK memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan kestabilan alam sekitar dan perlindungan kepada kepelbagaian hayat. Di samping itu, ianya juga berperanan sebagai punca utama sumber air untuk pertanian, industri dan kegunaan domestik.

Dari segi sosio-ekonomi, HSK men-yumbang kepada bekalan bahan kayu mentah untuk industri berasaskan kayu, mewujudkan peluang pekerjaan, hasil kepada kerajaan negeri dan juga bagi memenuhi keperluan masyarakat umum seperti kawasan istirehat, pelancongan dan sebagainya.

3.0    Matlamat dan Strategi

Dalam tempoh 50 tahun, keluasan HSK tidak menunjukkan perubahan yang ketara di mana pada tahun 1955 keluasan HSK adalah 347,992 hektar berbanding 342,613 hektar pada tahun 2005. Keadaan ini membolehkan perlaksanaan pengurusan hutan dilaksanakan dengan baik tanpa menjejaskan perancangan yang dibuat. Adalah dijangkakan status HSK terus berada pada tahap sedia ada dalam memastikan perlaksanaan RPH ini.

Pengurusan hutan di Negeri Kedah telah berkembang selaras dengan sistem pengurusan hutan yang diterimapakai di mana perubahan daripada Sistem Sebaya Malaya (MUS) kepada Sistem Pengurusan Tebangan Memilih (SMS) telah berlaku pada sekitar awal tahun 1990-an.

Perubahan sistem pengurusan hutan ini adalh bersesuaian dengan keperluan teknikal dan perubahan kawasan pengusahasilan dari hutan diterokarpa pamah ke hutan dipterokarpa bukit.

4.0    Rancangan Pengurusan Hutan

Rancangan pengurusan hutan ini meliputi tempoh 10 tahun mulai tahun 2006 hingga tahun 2015 bagi kawasan hutan darat asli di dalam HSK. Rancangan Pengurusan Hutan yang khusus akan disediakan secara berasngan bagi kawasan hutan paya laut di dalam HSK.

4.1.    Pengkelasan Hutan Mengikut Fungsi

Pengkelasan HSK dilakukan mengikut peruntukan Seksyen 10, Akta Perhutanan Negara 1984 supaya kawasan hutan dapat dizonkan bagi tujuan pengurusan

Pada amnya, pengkelasan ini terbahagi kepada hutan perlindungan dan hutan pengeluaran yang masing-masing berkeluasan 134,370 hektar dan 207,606 hektar.

4.2.    Perlindungan

Kawasan hutan perlindungan dalam HSK terdiri daripada Hutan Perlindungan Tanah seluas 3,321 hektar, Hutan Tadahan Air seluas 110,495 hektar, Hutan Simpanan Hutan Dara seluas 5,212 hektar, Hutan Lipur seluas 950 hektar, Hutan Pelajaran seluas 966 hektar dan Hutan Penyelidikan seluas 966 hektar.

4.3.    Pengeluaran dan Industri

KUP bagi tempoh RPH ini sebanyak 2,850 hektar dan selepas mengambilkira kawasan-kawasan yang berpotensi, jumlah keluasan yang boleh diusahasilkan adalah dalam tempoh RMK-10 ialah sebanyak 14,250 hektar.

Dari keluasan yang akan diusahasilkan, adalah dijangka sebanyak 869,250 meter padu kayu balak mampu dikeluarkan. Permintaan yang dijangka berdasarkan kepada kapasiti kilang pemprosesan utama ialah 3,346,500 meter padu bagi tempoh yang sama. Kekurangan ini boleh diatasi melalui kemasukan kayu balak dari negeri / negara jiran atau melalui pengurangan kapasiti pemprosesan utama.

4.4.    Keperluan Masyarakat

Bagi memenuhi keperluan masyarakat, aktiviti-aktiviti yang dijalankan melibatkan penubuhan, pengurusan dan penyelenggaraan hutan lipur, eko-pelancongan, rekreasi alam semulajadi, hutan bandar dan hutan masyarakat. Walau bagaimanapun, dalam tempoh RPHini, tumpuan diberikan kepada penubuhan dan pembangunan hutan lipur dan aktiviti yang berkaitan dengan eko-pelancongan.

Untuk mencapai matlamat ini, beberapa kawasan baru yang berpotensi akan dibangunkan sebagai hutan lipur yang akan menjadikan jumlah keseluruhan hutan lipur kepada 27 kawasan.

4.5.    Publisiti dan Pengembangan Perhutanan

Publisiti dan Pengembangan Perhutanan memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat perhutanan kepada masyarakat setempat.  Dalam tempoh RPH ini, Jabatan merancang untuk menerbit dan mengedarkan maklumat-maklumat perhutanan, mengadakan pameran dan menyampaikan ceramah kepada pelajar dan orang awam.

4.6.    Penyelidikan dan Pembangunan

Kajian yang dijalankan lebih tertumpu kepada perkara-perkara yang mampu memberi keputusan yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap keberkesanan dan mencapai matlamat pengurusan hutan secara berkekalan. Ianya dilaksanakan secara ‘ad-hoc’ oleh kakitangan Jabatan dengan kerjasama dan bantuan daripada institusi penyelidikan dan pusat pengajian tinggi.

4.7.    Infrastruktur

Kemudahan infrastruktur akan ditambah untuk mempertingkatkan kecekapan pentadbiran dan pengurusan hutan di Negeri Kedah. Bagi tujuan ini, penyelenggaraan akan dilaksanakan ke atas jalan-jalan hutan dan bangunan, disamping membina bangunan baru serta perolehan kenderaan dan peralatan kerja. Jabatan juga merancang untuk membangunkan sistem maklumat perhutanan yang melibatkan aplikasi Sistem Pengurusan (MUS) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS).

4.8.    Pentadbiran dan Kewangan

Pentadbiran Jabatan Perhutanan Negeri Kedah kekal sebagaimana dalam RPH sebelum ini, Walau bagaimanapun, bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pentadbiran dan pengurusan hutan, jabatan merancang untuk menyusun semula struktur organisasi yang melibatkan penambahan kakitangan. Latihan-latihan berjadual akan terus dilaksanakan kepada kakitangan dan pekerja setor perhutanan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.

Sumber hutan akan terus menyumbang kepada hasIl negeri melalui kutipan premium, royalti, dan caj-caj lain di mana sejumlah RM 2,350 juta dianggarkan akan diperoleh dalam tempoh RPH ini.

5.0    Pengawalan

Pengawalan secara sistematik, berkala dan berkesan akan dilaksanakan sepanjang tempoh RPH ini ke atas semua aktiviti yang dirancang. Pemantauan dan penilaian dilakukan dengan menggunakan pendekatan berasaskan kepada piawaian MC&I (2002) dan MS ISO 9001:2008 JPSM.

6.0    Penutup

Kajian semula RPH ini akan dilakukan dalam tempoh sekurang-kurangnya lima (5) tahun selepas dilaksanakan dengan tujuan untuk menilai prestasi dan kemajuan kerja dari segi kewangan dan fizikal serta mengenalpasti masalah yang timbul semasa pelaksanaan di lapangan.