Ringkasan Rancangan Pengurusan Hutan
Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Kedah (RPH) 2016-2025 disediakan bertujuan untuk memelihara, memulihara dan mengurus sumber hutan secara berkekalan seperti dinyatakan di dalam Seksyen 2 Akta 313 Akta Perhutanan Negara (1984).
RPH 2016-2025 ini akan digunapakai oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) untuk merancang dan mengurus sumber Hutan Simpanan Kekal secara berkekalan di Negeri Kedah dan berkuatkuasa untuk tempoh sepuluh tahun bermula 2016 sehingga 2025. Pelaksanaan RPH 2016-2025 ini akan melibatkan Rancangan Malaysia Ke Sebelas dan Rancangan Malaysia Ke Dua Belas dan meliputi keseluruhan kawasan HSK di negeri Kedah.
Terdapat lapan (8) objektif khusus telah disasarkan di dalam tempoh pelaksanaan RPH Kedah 2016-2025 ini, iaitu:-
- Untuk menguruskan sumber hutan negeri secara berkekalan bagi pengeluaran berterusan hasil dan perkhidmatan hutan serta penggunaannya secara optimum bersesuaian dengan keperluan alam sekitar,
- Untuk meningkatkan bekalan pengeluaran hasil dan perkhidmatan hutan melalui aktiviti- aktiviti perhutanan bersesuaian yang akan meningkatkan kualiti, produktiviti serta penggunaan sumber hutan,
- Untuk terus membangunkan teknologi mantap yang bersesuaian dengan keperluan alam sekitar bagi pemeliharaan, pengurusan dan penggunaan sumber hutan,
- Untuk memelihara dan melindungi kepelbagaian biologi hutan, air serta tanah dan penggunaannya secara berkekalan,
- Untuk meningkatkan kualiti dan kecekapan kilang-kilang pemprosesan berasaskan keluaran hutan serta menambahkan aktiviti-aktiviti hiliran dengan nilai tambah yang tinggi,
- Untuk memperkukuhkan pembangunan sumber manusia bagi menyokong sektor perhutanan,
- Untuk meningkatkan kesedaran awam berhubung peranan hutan terhadap alam sekitar dan pemeliharaan melalui pembelajaran serta penyebaran maklumat, dan
- Untuk meningkatkan sumbangan sektor perhutanan kepada pendapatan negeri, pertukaran wang asing dan peluang-peluang pekerjaan.
Keluasan tanah Negeri Kedah berjumlah 946,752 hektar. Keluasan kawasan berhutan di negeri Kedah adalah berjumlah 351,471 hektar (38.1% daripada keluasan negeri) yang terdiri daripada 343,693 hektar hutan darat dan 7,778 hektar hutan paya laut. Dari jumlah tersebut sebanyak 341,976 hektar merupakan Hutan Simpanan Kekal . Hutan Simpanan Kekal terdiri daripada 325,051.14 hektar hutan darat, 6,201 hektar hutan paya laut dan 10,723.86 hektar ladang hutan.
Pentadbiran dan pengurusan hutan di Negeri Kedah telah dibahagikan kepada empat (4) daerah hutan iaitu :
i. Daerah Hutan Kedah Langkawi = 26,183.00 Hekta
ii. Daerah Hutan Kedah Utara = 86,664.00 Hektar
iii. Daerah Hutan Kedah Tengah = 117,994.00 Hektar
iv. Daerah Hutan Kedah Selatan = 104,391 Hektar
Negeri Kedah turut mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi. Bagi flora Sejumlah 3,591 takson daripada 230 famili flora telah direkodkan ada di negeri Kedah, dengan 104 takson daripada 41 famili merupakan spesies terancam dan 359 takson daripada 80 famili adalah spesies endemik. Bagi spesies terancam ini, lima spesies (atau 4.8%) daripada lima family tergolong dalam kategori Critically Endangered, 23 takson (atau 22.1%) daripada 14 famili merupakan kategori Endangered, dan 58 takson (atau 40.5%) daripada 33 famili dikategorikan sebagai Vulnerable. Sebanyak empat famili tumbuhan peringkat tinggi yang terdiri daripada empat spesies telah dinamakan sempena nama Negeri Kedah.
Bagi mengekalkan sumber hutan yang mempunyai nilai tinggi, JPNK telah membangunkan dua (2) buah Kawasan High Conservation Value Forest yang terletak di Gunung Jerai iaitu dari spesies Orkid Selipar dan Hutan Simpan Merbok dari spesies Kurma Laut . Setakat ini aktiviti yang dijalankan bagi kawasan HCVF adalah membina dan menaik taraf struktur pagar dan tembok serta kerja-kerja berkaitan yang lainya yang telah dijalankan di Hutan Simpan Merbok dan Hutan Simpan Gunung Jerai.
Bagi fauna pula, dianggarkan terdapat 127 spesies mamalia daripada 30 famili. Bagi avifauna pula, sebanyak 259 spesies daripada 33 famili telah direkodkan di negeri Kedah. Herpetofauna pula merekodkan sejumlah 125 spesies di negeri Kedah, dengan 41 spesies amfibia dan 84 spesies reptilia.
Untuk sumber kayu-kayan negeri Kedah, Berdasarkan keputusan Inventori Hutan Nasional ke Lima secara amnya menunjukkan bagi individu bersaiz 10 cm dpd dan ke atas, mempunyai purata 425.74 pokok sehektar dengan luas pangkal 21.89 m2/ha, isipadu 232.19 m3/ha dan kandungan stok karbon berjumlah 149.10 tC/ha.
Bagi sumber bukan kayu pula, rotan manau mencatatkan jenis rotan yang paling banyak ditemui iaitu sebanyak 6.71 batang sehektar. Buluh beting (2.49 batang sehektar), bertam (48.79 rumpun sehektar) dan kacip fatimah (48.76 bil/ha) merekodkan bilangan yang paling tinggi di dalam kategori masing-masing.
Kawasan HSK seluas 151,613 hektar yang dikelaskan di bawah hutan pengeluaran di negeri Kedah akan dilaksanakan aktiviti pengusahasilan secara berkekalan mengikut sistem pengurusan hutan sedia ada, iaitu Sistem Tebangan Memilih (SMS) dengan pusingan tebangan selama 30 tahun bagi menjamin kelangsungan faedah hutan. Kaedah “Reduced Impact Logging” (RIL) akan digunapakai di dalam operasi pengusahasilan.
Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah dikira bagi tempoh Rancangan Malaysia ke Sebelas (RMK) 11 ini adalah sejumlah 3,122 hektar setahun berbanding 2,850 hektar setahun dalam Rancangan Malaysia ke (RMK) 10. Bagi RMK ke 12 CTT ditetapkan adalah seluas 4200 hektar setahun.
Sehingga akhir tahun 2014, terdapat 224 industri berasaskan kayu yang beroperasi di negeri Kedah yang boleh dibahagikan kepada sembilan jenis kilang iaitu kilang kayu gergaji (34), kilang papan lapis/venir (3), kilang kayu kumai (1), kilang perabot/pertukangan/tanggaman (161), kilang rotan dan buluh (3), kilang kayu getah (16), kilang pengawet kayu (1), kilang papan laminate (4) dan kilang parket lantai (1). Secara puratanya, industri berasaskan kayu ini bakal menggunakan 237,000 m3 kayu balak / bahan mentah setahun.
Jabatan Perhutanan Negeri Kedah juga dalam masa yang sama berhasrat membantu membangunkan sektor eko-pelancongan negeri. Di dalam tempoh RPH Kedah 2016-2025 ini, JPNK telah mengenalpasti kawasan berkaitan dengan ekopelancongan di HSK negeri Kedah sama ada kawasan yang sedang beroperasi atau di dalam peringkat perancangan iaitu sebanyak 19 Taman Eko Rimba, dua Hutan Pendidikan merangkap Hutan Penyelidikan serta cadangan satu Hutan Taman Negeri.
Sumber manusia merupakan nadi penting untuk memastikan pengurusan sumber hutan dapat dilaksanakan secara berkesan. Jumlah sumber manusia di JPNK pada 1 Januari 2016 adalah sejumlah 416 orang. Daripada jumlah tersebut, 13 jawatan adalah untuk kumpulan pengurusan dan profesional manakala selebihnya, iaitu 403 orang adalah dari kumpulan sokongan.
Sumber kewangan bagi pentadbiran dan pelaksanaan program pengurusan hutan diperolehi menerusi peruntukan mengurus dan pembangunan hutan. Dianggarkan sejumlah RM210 juta diperlukan sepanjang tempoh RPH Kedah 2016 – 2025 bagi menjalankan aktiviti perhutanan. Sepanjang tempoh RPH ini juga, anggaran purata hasil berjumlah RM49 juta setahun dijangka dapat disumbangkan kepada kerajaan negeri melalui kutipan premium, royalti kayu kayan, permit dan lesen, ses dan caj-caj lain, membawa kepada hasil bersih negeri berjumlah RM490 juta bagi tempoh pelaksanaan RPH Kedah 2016-2025.
Penjanaan sumber kekayaan baru melalui bayaran perkhidmatan ekosistem (PES) hutan juga dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tempoh RPH ini. Antara yang berpotensi untuk diketengahkan di bawah mekanisme PES ini adalah penggunaan air masyarakat.Dianggarkan hasil sejumlah RM2,606 sebulan atau bersamaan RM31,272 setahun dapat diperolehi bagi satu saluran/kolam air masyarakat.
Secara amnya RPH Kedah 2016 -2025 ini merupakan satu dokumen komprehensif yang bakal membantu JPNK dalam merancang, mentadbir serta mengurus hutan khusunya HSK secara teratur dan sistematik demi mencapai pengurusan hutan secara berkekalan. Beberapa langkah penambahbaikan juga telah dicadangkan di dalam dokumen ini berdasarkan kepada pencapaian RPH terdahulu. Sehubungan itu, adalah wajar dokumen ini menjadi sumber rujukan utama dan dikemaskini dari masa ke semasa dengan mengambilkira perubahan sosial, politik serta alam sekitar yang berlaku di negeri Kedah.
Semakan separuh penggal RPH Kedah 2016- 2025 pula akan dilaksanakan selepas lima tahun pelaksanaanya bertujuan untuk menilai prestasi dan kemajuan kerja dari segi kewangan dan fizikal serta mengenalpasti masalah dan isu yang timbul daripada pelaksanaannya.
Selaras dengan itu juga, kehendak-kehendak Pensijilan Pengurusan Hutan dibawah standard MC&I (SFM) akan dipatuhi. Sehingga kini Pengurusan Hutan bagi FMU negeri Kedah telah memperolehi Sijil Pengurusan Hutan melalui sijil FMC-NF 00131 berkuatkuasa dari 01 Oktober 2021 hingga 30 September 2026.
RPH 2016-2025 yang sedang digunakan kini merupakan RPH yang menggunakan standard yang telah ditetapkan mengikut MC&I (Hutan Asli). Memandangkan terdapat penambahbaikan di bawah standard di dalam MC&I (SFM) maka perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Standard MC&I (SFM) yang tiada di dalam MC&I (Hutan Asli) akan dimasukkan di dalam Kajian Separuh Penggal RPH 2016-2025 yang sedang dilaksanakan ketika ini oleh Juruperunding yang dilantik oleh JPNK.
Di antara perkara-perkara yang perlu ditambahbaik dibawah Prinsip 7 (Rancangan Pengurusan Hutan) ini adalah berkaitan Kawalan dan pencegahan kebakaran Hutan. JPNK akan menyediakan Pelan Tindakan Pencegahan Kebakaran Hutan berdasarkan kepada Panduan Pengurusan Kebakaran Hutan yang telah diterbitkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2009 serta dokumen-dokumen yang berkaitan.
Rasional bagi kadar pengusahasilan/penuaian tahunan dan pemilihan spesies termasuk hasil hutan bukan kayu yang digunakan secara komersial, penerangan tentang konsultasi dengan pihak berkepentingan, penerangan dan justifikasi tentang Teknik-teknik pengusahasilan/penuaian dan peralatan yang digunakan dan ketersedian dan pelaksanaan rancangan pengurusan hutan termasuk pertimbangan risiko serta peluang kea rah pematuhan terhadap keperluan-keperluan standard. Perkara-perkara ini akan diperjelaskan dengan lebih detail setelah Kajian Separuh Penggal RPH 2016-2025 yang sedang disediakan kini siap sepenuhnya.