bg-slider

bgslider

:

CAPAIAN PANTAS

CAPAIAN PANTAS

Executive Summary

Rancangan Pengurusan Hutan Negeri Kedah 2016 - 2025 (RPH Kedah 2016 - 2025) ini dihasilkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) berdasarkan kepada standard yang digariskan di dalam dokumen Panduan Penyediaan Rancangan Pengurusan Hutan Bagi Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM). Ia adalah selaras dengan keperluan untuk memelihara, memulihara dan mengurus sumber hutan secara berkekalan seperti dinyatakan di dalam Akta 313 Akta Perhutanan Negara (1984). Seksyen 2 Akta tersebut jelas menyatakan bahawa Rancangan Pengurusan Hutan adalah “ertinya sesuatu rancangan kendalian yang berhubung dengan aktiviti atau program silvikultur, ekonomi atau pemuliharaan yang ditetapkan bagi sesuatu Hutan Simpanan kekal (HSK) tertentu atau sebahagian daripadanya untuk memastikan pengambilan, penanaman semula dan pemuliharaan pokok-pokok dengan teratur mengikut prinsip perolehan berkekalan” 

RPH ini akan dijadikan dokumen rujukan asas untuk merancang dan mengurus HSK secara berkekalan di negeri Kedah untuk tempoh sepuluh tahun bermula 2015 sehingga 2026. Skop RPH Kedah 2016 – 2015 ini adalah meliputi keseluruhan kawasan HSK bagi negeri Kedah iaitu Hutan Darat Asli, Hutan Ladang dan Taman Negeri. Ia akan melibatkan jangkamasa pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 dan ke-12. Semakan separuh penggal RPH Kedah 2016 – 2025 pula akan dilaksanakan sekurang-kurangnya lima tahun  selepas dilaksanakan iaitu pada tahun 2020 bertujuan untuk menilai prestasi dan kemajuan kerja dari segi kewangan dan fizikal serta mengenalpasti masalah dan isu yang timbul daripada pelaksanaannya. 

Adalah menjadi keperluan bagi JPNK untuk menyediakan RPH Kedah 2016 – 2025 ini dan seterusnya dijadikan sebagai dokumen utama dalam mengurus sumber hutan yang masih ada di negeri Kedah dan bagi tujuan Pensijilan Hutan (MC&I 2002). Objektif RPH Kedah 2016 – 2015 yang digariskan ini adalah selari dengan objektif Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) iaitu untuk memelihara dan mengurus hutan secara berkekalan dan memastikan peranan dan kepentingannya dari segi sosio-ekonomi, kepelbagaian biologi dan pemuliharaan serta kestabilan alam sekitar sentiasa di ambil perhatian. 

Negeri Kedah dengan keluasan kawasan negeri berjumlah lebih kurang 944,297 hektar merupakan sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia yang terkenal sebagai Negeri Jelapang Padi Malaysia. Berdasarkan statistik pada tahun 2015, keluasan kawasan berhutan di negeri Kedah adalah berjumlah 371,471 hektar (39.3% daripada keluasan negeri) yang terdiri daripada 363,693 hektar hutan darat dan 7,778 hektar hutan paya laut. Dari jumlah tersebut sebanyak 341,976 hektar atau bersamaan 94% daripada keseluruhan kawasan berhutan adalah berstatus HSK. Ia terdiri daripada 326,192 hektar hutan darat, 6,201 hektar hutan paya laut dan 9,583 hektar ladang hutan. Ini secara langsung menunjukkan hanya 39,078 hektar (atau 6%) kawasan berhutan yang berstatus hutan tanah negeri dan tanah milik. 

Tenaga kerja yang mencukupi tidak dinafikan merupakan salah satu elemen penting bagi JPNK dalam menjalankan tugas dan tanggungjawabnya mentadbir dan mengurus sumber hutan di negeri Kedah. Bilangan perjawatan di JPNK pada 1 Januari 2016 adalah sejumlah 426 orang. Daripada jumlah tersebut, sepuluh jawatan adalah kumpulan pengurusan dan profesional manakala selebihnya, iaitu 416 orang adalah dari kumpulan sokongan. 

Bagi tujuan pentadbiran dan pengurusan hutan, negeri Kedah telah dibahagikan kepada empat (4) daerah hutan iaitu Daerah Kedah Utara, Kedah Tengah, Kedah Selatan dan Langkawi, di mana setiap daerah hutan ini diletakkan dibawah tanggungjawab Pejabat Hutan Daerah yang diketuai oleh seorang Pegawai Hutan Daerah. Ia berperanan untuk menjalankan pentadbiran di peringkat daerah, termasuk kawalan pengusahahasilan, kutipan hasil dan penguatkuasaan undang-undang serta menjalankan aktiviti pengurusan, pembangunan dan silvikultur.

Sumber kewangan bagi pentadbiran dan pelaksanaan program pengurusan hutan diperolehi menerusi peruntukan mengurus, pembangunan hutan, Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH) dan lain-lain sumber kerajaan negeri mahupun persekutuan. Dianggarkan lebih kurang sejumlah RM210 juta diperlukan sepanjang tempoh RPH Kedah 2016 – 2025 bagi menjalankan aktiviti RPH ini. Sepanjang tempoh RPH ini juga, hasil lebih kurang berjumlah RM490 juta dianggarkan dapat disumbangkan kepada kerajaan negeri melalui kutipan premium, royalti dan caj-caj lain. Penjanaan sumber kekayaan baru melalui bayaran perkhidmatan ekosistem (PES) hutan juga dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tempoh RPH ini. Antara yang berpotensi untuk diketengahkan di bawah mekanisme PES ini adalah penggunaan air masyarakat. Dianggarkan hasil sejumlah RM2,606 sebulan atau bersamaan RM31,272 setahun dapat diperolehi bagi satu saluran/ kolam air masyarakat. 

Terdapat seluas 151,613 ha HSK yang dikelaskan di bawah hutan pengeluaran di mana aktiviti pengusahasilan secara berkekalan akan dijalankan mengikut sistem pengurusan hutan sedia ada, Sistem Tebangan Memilih (SMS). Pengiraan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) yang telah dikira bagi tempoh RPH Kedah 2016 – 2015 ini adalah 3,122 hektar setahun. Jika pengusahasilan dijalankan, langkah pencegahan perlu diambil untuk mengurangkan kesan kepada alam sekitar dan dirian tinggal. Pematuhan kepada keperluan MC&I (2002) serta panduan-panduan sedia ada adalah sangat penting. Antara yang akan digunapakai adalah:

• Panduan penggunaan bahan kimia
• Panduan keselamatan dan kesihatan pekerja hutan
• Panduan pembalakan berimpak rendah 2003
• Panduan pembinaan jalan hutan 2010
• Manual perhutanan Jilid 1-3, Panduan kerja luar 1997.

Secara amnya RPH Kedah 2016 – 2015 ini merupakan satu dokumen komprehensif yang bakal membantu JPNK dalam merancang, mentadbir serta mengurus hutan khususnya HSK secara teratur dan sistematik demi mencapai pengurusan hutan secara berkekalan. Adalah wajar dokumen ini menjadi sumber rujukan utama dan dikemaskini dari masa ke semasa dengan mengambilkira perubahan sosial, politik serta alam sekitar yang berlaku di negeri Kedah.